Thursday, October 29, 2009

Antara Percaya Dengan Yakin


(Dipetik dari buku Membina Imaginasi Cemerlang oleh Dr. HM TUAH ISKANDAR al-Haj)


Suatu hari, di suatu tempat yang jauh dari negara kita ini, berlangsunglah satu pertunjukan kemahiran. Tetapi pertunjukan ini amat luar biasa dan menakjubkan sekali. Seorang penembak akan menunjukkan kemahirannya menembak sebiji epal di atas kepala sebuah patung. Selepas membedek beberapa ketika, dia menarik picu pistolnya dan tembakannya tepat mengenai epal tersebut.

Kemudian dia bertanya, “Apakah tuan-tuan percaya saya seorang penembak yang cekap?”

Semua orang menjawab, “Ya, kami percaya.”

Kemudian dia menutup matanya dengan kain hitam. Untuk memastikan dia benar-benar tidak boleh melihat, kapas di letakkan di atas kelopak matanya terlebih dahulu sebelum di ikat dengan kain hitam tersebut. Seperti tadi, sebiji epal diletakkan di atas kepala sebuah patung. Kemudian dia membedek lalu menarik picu pistolnya. Tepat mengenai sasarannya!

Semua yang hadir bertepuk tangan dan memuji-muji kehebatan penembak ini. Dalam pada itu si penembak tadi pun bertanya, “Apakah tuan-tuan percaya saya seorang penembak yang cekap?”

Semua orang menjawab, “Ya, kami percaya.” Sudah ada yang melontarkan duit ke dalam topi yang memang telah disediakan.

“Baik, sekarang tuan-tuan semakin percaya dengan kebolehan saya, mahukah tuan-tuan jika saya tunjukkan lagi kehebatan saya untuk menambah kepercayaan tuan-tuan?”

Semua orang menjawab, “Mahu!”

“Jika begitu, saya akan meletakkan sebiji epal di atas kepala tuan-tuan. Saya akan menembak epal berkenaan tanpa mencederakan tuan-tuan. Saya jamin tuan-tuan tidak akan cedera. Siapakah yang sudi membantu saya menjayakan pertunjukan ini?”

Senyap. Tiada sesiapa menjawab.

“Tuan-tuan telah melihat kepakaran saya. Saya telah membuktikan kepada tuan-tuan saya boleh menembak dengan tepat walaupun dengan mata yang tertutup. Tuan-tuan juga telah mengatakan tuan-tuan percaya dengan kehebatan saya. Ada sesiapa yang sudi?” tanya penembak itu lagi.

Para penonton tersengih-sengih, tiada seorang pun yang berani tampil ke depan. Akhirnya pertunjukan itu dibatalkan dan tidak pernah sampai ke penyudah.

Mengapakah tiada seorang pun yang berani tampil ke hadapan, padahal mereka telah melihat sendiri kehebatan penembak berkenaan melakukan kerjanya? Jawapannya mereka percaya tetapi tidak yakin.

Saya pernah bertanya kepada pelajar-pelajar saya di universiti di mana saya menjadi tutor tentang definisi “percaya” dan “yakin”. Seorang pelajar dengan confidence menjawab “percaya” ialah suatu keyakinan bernilai 50%, manakala “yakin” adalah kepercayaan 100%. Jawapan pelajar ini dipersetujui oleh semua pelajar yang berada di dalam dewan.

Kemudian saya bertanya tentang Rukun Iman dan menyebutnya begini; “Rukun Iman pertama ialah percaya kepada Allah, kedua percaya kepada Malaikat, ketiga percaya kepada Nabi dan Rasul. Keempat percaya kepada Kitab dan kelima percaya kepada Qada dan Qadar.”

“Setakat percaya saja?” tanya saya.

“Ya, sebab iman dalam bahasa Arab bermaksud percaya,” jawab pelajar itu.

“Sahkan keimanan jika nilainya hanya 50%?”

Mereka diam.

“Kamu juga yang berkata percaya hanya bernilai 50%. Ada 50% lagi untuk sampai ke tahap kepercayaan yang mutlak atau yakin.”

Mereka tersengih-sengih terus.

Antara percaya dengan yakin amat berbeza sekali. Sebagaimana kita diminta percaya akan kewujudan Allah dan berasa yakin dengan kekuasaan-kekuasaan-NYA. Ramai di antara kita, apabila ditanya apakah percaya kepada Allah, dengan spontan menjawab “percaya” dan apabila ditanya apakah yakin dengan kekuasaan-kekuasaan Allah, dengan spontan juga menjawab “yakin”. Tetapi apabila disuruh membuktikan keyakinan itu ramai yang gagal? Contoh yang paling mudah ialah dalam soal sembahyang. Berapa ramai yang sedar akan kewajipan sembahyang tetapi tidak upaya melaksanakannya. Berapa ramai yang percayakan Allah tetapi tidak yakin dengan ancaman-ancaman-NYA. Hingga kerana itu mudah sahaja kita melihat orang melakukan dosa walhal kalau dilihat fizikalnya terlihatlah tanda-tanda ketaatan dan kesolehannya.

“Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar.”

No comments:

Post a Comment