Tuesday, July 6, 2010

Cinta Allah Dalam Rumah Tangga


(Dipetik dari buku Satu Rasa Dua Hati oleh Pahrol Mohd Juoi)

“Cukupkah dengan cinta untuk mengekalkan satu perkahwinan?”

Cukup... jawab saya pendek.

Tapi kenapa pasangan yang saling cinta-menyintai pun mengalami keruntuhan rumah tangga?

Sebab mereka dah tidak saling menyintai lagi.

Jadi cinta sahaja tak cukuplah untuk mengekalkan perkahwinan?

Soalan yang sama... saya mengingatkan.

Dia diam.

Boleh saya betulkan soalan? usik saya.

Ehm...

Bagaimana nak mengekalkan cinta demi mengukuhkan perkahwinan?

Dia mengangguk,
Ya, begitulah maksud saya...

Untuk mengekalkan cinta, perlulah kita cintai Yang Maha Kekal dahulu.

Maksud awak... Allah, Tuhan? Cintakan Tuhan terlebih dahulu?

Ya, cinta manusia tidak kekal sebab ia juga makhluk. Sifat makhluk berubah-ubah, lemah dan sementara. Hanya Allah dan cinta-Nya sahaja yang kekal, kukuh dan abadi. Jadi, untuk mengekalkan cinta, manusia perlulah meletakkan asas cintanya kepada cinta Tuhan. Inilah asas rumah tangga yang disemai sejak sahnya akad nikah.

Saya rasa ada pasangan yang punya asas-asas tu pada awal pernikahan, tapi cintanya pudar jua...

...Bersama pudarnya cinta mereka kepada Allah. Pasti. Potong saya.

Bagaimana mengasaskan cinta pada cinta Allah?

Banyak, antaranya... pertama, cinta itu mestilah kerana Allah. Maksudnya, cinta itu didorong untuk melaksanakan peranan kita sebagai hamba dan khalifah-Nya. Ini tugas berat. Jadi untuk menjayakan misi berat ini, setiap manusia perlukan pasangan untuk sama-sama bertolong-bantu. Kedua, cinta kita kepada pasangan kita jangan melebihi cinta kita kepada Allah...

Ni dah selalu saya dengar. Macam mana nak tentukan yang cinta kita pada manusia tak melebihi cinta kita kepada Allah?

Mudah saja. Cuba nilai, apakah cinta kita kepada manusia tu melalaikan kita daripada perintah Allah? Kalau ya, itu menunjukkan cinta kita sudah tersasar. Seperkara lagi, kalau bertembung kehendak Allah dengan kehendak orang yang kita cintai, mana satu yang kita dulukan... Kalau kita dulukan kehendak kecintaan kita, maka itu juga menunjukkan cinta kita telah tersasar.

Saya rasa ni yang banyak berlaku dalam rumah tangga hari ini. Inilah puncanya mengapa ramai pasangan suami isteri berpisah. Bukan kerana tidak saling menyintai sesama mereka tapi kerana cinta mereka itu telah meminggirkan cinta Allah maka jadilah cinta mereka cinta kelas dua!

Manusia merancang dengan cintanya. Tuhan menentukan dengan cinta-Nya. Cinta berdasarkan fitrah sahaja tak cukup kukuh untuk bertahan menghadapi ujian rumah tangga...

Cinta berdasarkan fitrah? Maksudnya?

Cinta fitrah ialah cinta yang dikurniakan secara semula jadi oleh Tuhan. Itu ada pada semua manusia, yang Islam dan bukan Islam, yang taat atau derhaka...

Itulah cinta 'kelas dua' yang awak maksudkan tadi?

Ya, untuk meningkat ke cinta kelas pertama, Tuhan utuskan para rasul membawa petunjuk-Nya - Islam. Dalam agama, ada cinta daerah tinggi... cinta Tuhan. Dengan petunjuk agama, cinta fitrah tadi dimurnikan daripada kotoran nafsu, dilindungi dari bujukan syaitan, dipandu oleh cahaya ilmu, disuburkan dengan iman, disalurkan mengikut syariat dan akhirnya dihiasi oleh akhlak. Ketika itu bertukarlah cinta kelas dua menjadi cinta kelas pertama!

Cinta 'kelas dua' dalam rumah tangga tu penting juga...

Ya, itu tapak asas, tapak mula... Fitrah itu murni. Malangnya, kadang-kadang cinta kelas dua ni pun dah tak ada dalam rumah tangga.

Maksud awak?

Cinta bukan lagi didasarkan oleh fitrah, tapi semata-mata kerana nafsu. Cinta hanya hinggap justeru keinginan-keinginan 'bahimiyah' yang ditentukan oleh faktor fizikal - daging, urat dan kulit. Ini cinta kelas terbawah, yang boleh juga dirasai oleh haiwan.

Tapi kita manusia, ada nafsu. Kita tertarik juga pada faktor fizikal... Pada rupa, pada gaya dan bentuk.

Tulah agaknya orang selalu berkata, cinta itu dari mata turun ke hati. Tak dinafikan... Tapi ingat, hati yang mengawal mata. Bukan sebaliknya. Apa yang dilihat oleh mata bukan hakikat. Itu hanya yang tersurat. Hatilah yang 'memproses' apa yang tersirat menjadi hakikat. Sebab tu al-Quran menggunakan istilah 'mata yang ada di dalam dada'. Ertinya, dalam hati itu ada satu lagi mata... mata hati. Cinta kelas pertama di situlah letaknya. Manakala cinta kelas dua, letaknya di mata!

Sukar mengawal kemantapan hati kalau fizikal telah berubah...

Fizikal tetap berubah, walaupun macam mana dikawal sekalipun. Awet muda hanya ilusi. Tua dan mati satu realiti yang tak akan dapat diatasi. Tak boleh disekat, hanya boleh diperlambat. Cinta kelas dua tak akan dapat menangani perubahan fizikal. Tapi cinta kelas pertama bukan sahaja mampu, malah boleh meningkatkan lagi bersama perubahan fizikal.

Kenapa?

Sebab ia bukan ditentukan oleh urat, daging, dan kulit... yang akan kedut dan mereput, tapi ditentukan oleh hati, yang menilai iman, kasih, sayang, akhlak dan budi. Nilai-nilai ini tidak akan reput. Ya, kedut kelopak mata isteri kita, dia dah tua... tapi itu pandangan mata cuma. Tapi hati kita memandang lain... mata itulah yang pernah menangis bersama kesusahan kita. Ya, telah putih uban di kepala suami kita... tapi si isteri seolah-olah tidak melihatnya, yang di'pandang'nya ialah kepala itulah yang selama ini memikirkan bagaimana nak membahagiakan rumah tangga!

Betul kata orang, cinta itu buta...

Memang, cinta itu buta... tapi cinta sejati itu celik mata hati!

No comments:

Post a Comment